Keputusan Jawatankuasa Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah penggantungan  satu lagi perlawanan terhadap rayuan pemain tengah Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, daripada lima kepada enam perlawanan dibidas Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net).

Presiden Kelate.Net, Mahizi Mahmood, berkata, FAM selaku badan terbesar yang menjaga bola sepak di Malaysia harus bijak menangani permasalahan sebegini jika ingin terus maju tanpa menimbulkan sebarang kontroversi melalui hukuman yang dijatuhkan tidak jelas dan boleh dipertikaikan.

“Kes Wan Zaharulnizam atau Kechik sepatutnya dirujuk pada Artikel 18 (4) dan dibaca bersama Artikel 50. C atau D. 

"Mengikut artikel tersebut, pemain boleh digantung satu perlawanan berikutnya atau sekurang-kurangnya dua perlawanan berikutnya.

“Kes ini menjadi pelik apabila Kechik terus dijatuhi hukuman penggantungan lima perlawanan (mungkin berpegang kepada ayat sekurang-kurangnya dua perlawanan). Kemudian, apabila kes dirayu, keputusan bukan sahaja ditolak tetapi ditambah pula satu perlawanan lagi,” katanya.

Mahizi juga cuba mengingatkan FAM bagaimana pemain Selangor, Nazmi Faiz Mansor, yang didapati bersalah meludah pemain Kelantan, Erwin Carrillo, pada 2015 dan dikenakan hukuman gantung enam perlawanan. Namun, apabila rayuan buat, Nazmi hanya digantung tiga perlawanan. 

“Mengapa Nazmi Faiz boleh diterima rayuannya (daripada enam kepada tiga perlawanan sahaja) sedangkan Kechik terpaksa menderita ditambah satu perlawanan lagi. Ini tidak adil kepada Wan Zaharulnizam dan pasukan Kelantan.

“Mungkin FAM ada jawapan tertentu (ketika hukuman dijatuhkan), tetapi penilaian haruslah dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira sikap pilih kasih."

Sementara itu, Mahizi juga mengajak semua pemain ke-12 (penyokong) untuk turun ke Stadium Sultan Mohammed Ke-IV malam ini bagi memberi sokongan padu padu kepada The Red Warriors (TRW) yang akan menentang T-Team dalam saingan Liga Super.

“Penuhkan stadium keramat kita malam ini dan sokongan anda amat ditagih bagi meniup semangat TRW mencari tiga mata penting dan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super."