Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berpendapat presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya dari golongan keluarga diraja dan juga mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian.

Selain itu, Tunku Ismail turut mencadangkan supaya presiden dan ahli exco sedia ada digugurkan.

Dalam kenyataannya menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat, Tunku Ismail memberi reaksi berkenaan tawaran daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ia juga berkaitan perbincangan dengan Bendahari FAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dengan topik menjurus kepada pelantikan Tunku Ismail selaku pengerusi pasukan kebangsaan, Ketua Kongres FMLLP dan jawatan Presiden FAM.

Bagaimanapun, Tunku Ismail memberi cadangan balas, termasuk isu jawatan presiden FAM, dengan menegaskan presiden FAM perlulah seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab yang mengambil bahagian.

Begitu juga ahli exco baru yang perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara.

Tunku Ismail turut menyentuh mengenai pengadil yang mesti mempunyai sebuah persatuan pengadil yang bebas.

Selain itu, Tunku Mahkota Johor juga memberi cadangan mengenai ketelusan dalam perancangan FAM serta pasukan kebangsaan yang perlu menggunakan khidmat jurulatih asing