Misi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memastikan tiga mata penuh diraih di Ipoh, terlaksana sebaik skuad Harimau Selatan menundukkan Perak 1-0 di Stadium Perak,  sebentar tadi.

Sekalipun status JDT cukup gah selaku penghuni tangga teratas Liga Super, anak buah Mario Gomez tetap berwaspada kekebalan Perak di kubu sendiri.

Enggan terus dihantui rekod mengecewakan di laman lawan, kunjungan Harimau Selatan kali ini dipacu keazaman untuk meraih tiga mata yang amat diperlukan.

Jorge Pereyra Diaz meletakkan JDT dalam landasan terbaik apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-16.

Insiden pergaduhan menjelang akhir babak pertama, menyemarakkan lagi api perjuangan di antara kedua-dua pasukan ketika kedudukan berpihak kepada JDT 1-0.

Bersambung selepas rehat, perseteruan di antara Perak dan JDT terus memuncak.

Namun, kemenangan sah milik JDT untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Sementara itu, Kedah meranapkan impian Selangor dalam misi mencari tiga mata penuh di Alor Setar selepas menundukkan The Red Giants 1-0.

Selepas gagal meraih tiga mata penuh dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini, Selangor nyata terdesak dalam misi memastikan kemenangan di Alor Setar.

Tambahan pula barisan bimbingan Tan Cheng Hoe berada pada momentum terbaik selepas menundukkan Pahang 1-0, tiga hari lalu.

Tuan rumah, Kedah, jelas menguasai permainan menerusi beberapa siri percubaan ke pintu gol Selangor, khasnya melalui sepakan percuma yang diraih Liridon Krasniqi hampir memecah kebuntuan Skuad Lang Merah, namun gagal menyempurnakan rembatannya untuk meletakkan pasukannya di hadapan sebelum berakhir babak pertama.

Masuk babak kedua, permainan bertukar rentak.

Hanya tiga minit diperlukan Kedah untuk meledak gol pembukaan menerusi Bang Seung-Hwan, sekali gus merentap semangat anak buah Zainal Abidin Hassan yang semakin tertekan.

Usaha Selangor terus menemui jalan buntu ketika Kedah terus mencari peluang menambah kelebihan mereka.

Malangnya tiada tambahan jaringan terhasil untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Lain-lain keputusan:

Sarawak 0 Pulau Pinang 2

Felda United 2 Terengganu 2

Kelantan 2 T-Team 0

PDRM 1 Pahang 0