Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, tidak rela terus terhimpit dengan keputusan tidak menyenangkan, lantas mahu aksi dengan Perak pada Sabtu berkesudahan dengan kemenangan.
Tidak mahu dilabel sebagai pasukan pilihan, Safiq bagaimanapun tidak menafikan kunjungan JDT ke Ipoh, kali ini adalah untuk menuntut hak kemenangan.

Kekurangan dalam dua aksi terbaru yang gagal meraih keputusan baik membuatkan kem Mario Gomez tidak memiliki sebarang pilihan lain kecuali kemenangan semata-mata.

Bagi Safiq, setiap peluang perlu di sempurnakan dengan sebaik-baiknya jika tidak mahu kegagalan terus memihak mereka.

"Apa yang penting, kami perlukan tiga mata jika mahu kekal selaku pendahulu Liga Super," katanya.

Kunjungan ke Pulau Pinang sekadar membawa pulang satu mata, malah dalam penampilan terakhir di Stadium Perak, JDT tewas 3-0.

Safiq tidak mahu perkara sama berulang lagi

"Kami terlepas peluang di Pulau Pinang tetapi Alhamdulilah, Felda United pun hilang mata penting.

"Saya harap selepas ini kami tidak boleh lagi melepaskan peluang dan lebih fokus dalam memastikan kami kekal berada di puncak liga," tambahnya.