Johor Darul Ta'zim II (JDT II) memastikan mereka terus mengekori rapat pendahulu Liga Perdana, Melaka United, apabila melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNS FC di Pasir Gudang, malam ini.
Gol tunggal JDT II hadir menerusi pemain import Brazil, Paulo Rangel, pada minit ke-67 perlawanan.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut skuad kendalian Benjamin Mora selepas melakar kemenangan besar 4-1 ke atas UiTM FC beberapa hari lalu.

Jaringan tersebut merupakan gol kelima Rangel selepas meledak empat gol di Shah Alam sebelum ini.

Keputusan itu menyaksikan JDT II kini kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata, lima mata di belakang pendahulu, Melaka United, yang melakar kemenangan 3-2 ke atas UiTM FC pada sebelah petang.

Sementara itu, misi Negeri Sembilan untuk memintas Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh pasukan tercorot liga, Sime Darby, di laman sendiri.

Skuad kendalian Gary Phillips dikejutkan dengan gol awal Sime Darby menerusi jaringan Mohd Faizal Ab Aziz pada minit keempat.

Bagaikan tersentak, Negeri Sembilan seakan-akan hilang rentak dan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 perlawanan untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Alexander Smith.

Sekalipun berdepan pasukan tercorot liga, namun anak buah Phillips gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu tiga mata penting.

Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga kelima liga dengan 28 mata, dua mata dipisahkan dengan Kuala Lumpur di tempat keempat yang turut melakar keputusan seri 2-2 berdepan Kuantan FA pada sebelah petang.

Sime Darby kekal di kedudukan tercorot liga dengan lapan mata dari 17 perlawanan.