Pemain tengah import Kelantan dari Brazil, Wander Luiz Bittencourt Junior, terus teruja dengan persembahannya dan menganggap jaringannya untuk keputusan seri 1-1 dengan Felda United membuktikan jentera penggempur The Red Warriors (TRW) masih berbisa untuk merobek gawang lawan.

“Satu kombinasi yang menarik ketika jaringan dihasilkan. Saya puas hati dapat menjaringkan gol dan memastikan Kelantan dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai kegagalan barisan penyerang Kelantan menambah jaringan biarpun menguasai perlawanan, Luiz berharap penyokong dapat bersabar kerana pemain telah berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menghasilkan jaringan.

“Semua pemain inginkan kemenangan dan jaringan penting untuk memastikan pasukan kami mengalahkan pihak lawan. 

"Kami perlu lebih kreatif dan berfikir bagaimana untuk menghasilkan jaringan. Sebenarnya inilah bola sepak. Kadang kala anda perlu menerima hakikat biarpun menguasai perlawanan sepenuhnya tetapi masih buntu untuk meletakkan bola dalam gawang lawan.

“Saya pasti ketua jurulatih (Velizar Popov) akan membuat sesuatu untuk mempastikan barisan serangan lebih tajam di depan gawang lawan."

Dalam saingan menentang The Fighters malam kelmarin, Luiz beraksi cemerlang dan gerakan yang dihasilkan mampu mengucar-kacirkan benteng pertahanan Felda United yang diketuai Shukor Adan.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan Felda United seawal minit kelapan melalui penyerang import, Francis Forkey Doe, namun gerakan solo menarik Luiz yang melepaskan sepakan kencang pada minit ke-76 berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Harun, untuk gol penyamaan tuan rumah.