Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, melepaskan jawatan itu berkuatkuasa hari ini dan ia akan dipangku buat sementara oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan.

Ahmad Nizam membuat pengumuman itu selepas perjumpaan khas sebentar tadi melibatkan pihak pengurusan tertinggi PBSNT, pemain dan Ahmad Razif sendiri.

“Hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Presiden PBSNT dan dalam mesyuarat sebentar tadi juga, semua bersetuju Menteri Besar mengambil alih buat sementara waktu sehingga kami mengadakan AGM nanti.

“Kesungguhan pemain sedikit pudar sejak beberapa perlawanan terakhir sebelum ini, jadi saya mengambil langkah awal untuk meletakkan jawatan.

“Dengan bantuan MB, setidak-tidaknya boleh meniupkan kembali semangat pemain-pemain dan saya mengharapkan mereka mengambil iktibar supaya menunjukkan kesungguhan mereka,” katanya.

Sambil menyifatkan Ahmad Nizam sebagai seorang yang berjiwa besar, Ahmad Razif nyata bersedia memikul tanggungjawab baru itu bagi memulihkan prestasi skuad Sang Penyu.

“Dalam soal ini, beliau meletakkan kepentingan pasukan sebagai keutamaan dan kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana bukan Terengganu sahaja yang mengalami masalah ini.

“Saya melihat kesungguhan beliau dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PBSNT yang ingin melihat satu perubahan serta pemulihan dalam pasukan. Kerana itu, saya sanggup memangku seketika dan paling utama memastikan pertukaran ini mengikut peraturan.

“Selain itu saya akan memberi tumpuan dan membantu dari semua aspek bagi memastikan kita mencipta kejayaan dalam baki perlawanan musim ini serta memberi satu suntikan semangat buat pemain-pemain," kata Ahmad Razif.

Dengan peletakan jawatan yang hanya melibatkan jawatan presiden, Ahmad Razif berharap dapat bekerjasama dengan barisan AJK sedia ada untuk membawa kejayaan kepada Terengganu.

“Dalam masa yang sama, kami akan membuat perbincangan kerana penyelesaian ini perlu dilakukan secara berpasukan, bukan sekadar individu. Tetapi perkara itu tidak perlu dipanjangkan, apa yang penting adalah kejayaan pasukan.

“Kita sama-sama doakan kejayaan Terengganu dan berharap peminat-peminat terus menyokong serta memberi semangat kepada pasukan ini.

“Insya-Allah dengan gandingan pihak pengurusan, kerajaan negeri, peminat dan pemain, kita akan memperoleh kejayaan.

“Masa sangat suntuk tetapi kami akan menilai serta berbincang strategi, cuma komitmen yang saya boleh bagi ialah permasalahan melibatkan kewangan pemain-pemain dan persatuan, Insya-Allah akan diselesaikan.

“Kita tunggu dan lihat, jika semua mengikut perancangan atau sebaliknya, tetap ada tindakan-tindakan diambil untuk menghabiskan musim ini serta membuat persediaan musim hadapan.

“Apa yang saya beri jaminan, walau apa yang berlaku, kita tetap akan memastikan Terengganu dan T-Team akan bertahan kerana T-Team juga satu pasukan yang bagus ketika ini,” tambahnya lagi.