Sunday 4 September 2016

UMNO Parti Suci, Bukan Lahir Kerana Tolak Pemimpin - Najib

Umno ialah parti suci yang lahir dari semangat nasionalisme menolak penjajah dan bangkit dari roh orang Melayu yang mahu membela martabat dan maruah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan ia bukan parti yang dilahirkan daripada rasa benci, kecewa atau atas dasar menolak pemimpin malah mana-mana parti yang lahir atas sebab itu tidak akan bertahan lama.

“Umno tidak lahir di atas kebencian, Umno tidak lahir di atas kekecewaan, Umno tidak lahir kerana mahu menolak pemimpin lain. Kalau itulah jadi asas perjuangan kita, maka, apa-apa yang kita lakukan bukanlah bertunjangkan idealisme dalam perjuangan yang berpaksikan kepada sesuatu yang mulia dan suci.

“Tidak ada satu wadah perjuangan yang jelas, hanya sekadar marah, benci dan cita-cita peribadi yang tidak kesampaian maka perjuangan itu tidak bertahan lama,” katanya semasa Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jelebu dan Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di Stadium Mini Kuala Klawang, petik Bernama.

Presiden Umno itu yakin partinya akan terus menjadi teras kepada kepimpinan negara kerana perjuangan idealisme yang teruji, bertahan sejak sekian lama dan membawa negara ke arah kejayaan tidak kira dalam apa jua era dan krisis.

Laporan itu mengulas saranan Najib kepada rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai hiburan dan berita antarabangsa sebagai panduan.

“Rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar, kita lebih sayang kedaulatan negara kita,”katanya.

Najib juga melihat usaha pihak tertentu mengemukakan referendum dan deklarasi rakyat terhadapnya tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Malah katanya, bantuan seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), persekolahan, projek-projek kecil, duit raya, bonus dan sebagainya yang membela kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri juga berbangga apabila Malaysia dijadikan negara contoh bagi negara lain dalam aspek keselamatan dan keamanan.

“Pagi tadi saya dapat mesej, kedamaian di selatan Filipina akan diteruskan…menakjubkan (ialah) proses kedamaian bangsa Moro di Selatan Filipina mesyuaratnya dibuat di Kuala Lumpur, maknanya kita dianggap sebagai ‘big brother’.

“Mereka tidak akan lakukan perkara ini kalau negara kita huru hara, tak ada peranan di rantau ini…tetapi kerajaan Filipina dan MILF hormat kita. Itulah negara Malaysia pimpinan Umno dan BN (Barisan Nasional),” katanya.

Najib berkata beliau terharunya dengan atas sokongan berterusan Umno Bahagian Jelebu serta rakyatnya dan berharap untuk terus diberikan mandat rakyat untuk menjalankan tugasnya dengan baik.

“Janganlah ganggu saya, saya bertanggungjawab terhadap 30 juta rakyat. Biar halilintar membelah bumi, saya tidak akan berundur walau seinci…tidak berundur, tidak menyerah.

“Kita berada di landasan yang betul dan benar. Kalau ada yang tidak betul, kita betulkan bersama tapi jangan sampai meruntuhkan institusi politik kita,” kata beliau.

Selaku pemimpin yang diberi mandat daripada parti dan rakyat, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik.

Pada program itu, ia dihadiri seramai 15,000 termasuk anggota parti komponen, exco kerajaan negeri, ketua-ketua Umno bahagian dan rakyat.

No comments:

Post a Comment

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ  | Semalam, mummy berkesempatan u...