Sunday 4 September 2016

'Saya Orang Baik, Banyak Dapat Derma'


Kekayaan yang kononnya dimiliki Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos sebenarnya datang daripada sumbangan rakannya yang murah hati.

“Saya orang yang baik, jadi setiap tahun apabila saya bakal mempengerusikan mesyuarat bahagian, ramai kawan saya dan ahli perniagaan akan menyumbang (wang).

“Rakan ini memberi RM10,000, manakala rakan lain mungkin beri RM20,000 dan seorang lagi akan memberi RM50,000. Jadi, apa masalahnya?” soal Jamal ketika dihubungi FMT semalam berhubung kenyataan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran yang mempersoalkan kekayaan pemimpin Umno itu.

Ia susulan pengumuman mengejutkan Jamal yang berjanji akan memberi RM1,000 kepada setiap perwakilan menghadiri mesyuarat Umno Bahagian Sungai Besar, pada Rabu lalu, kerana tidak dapat menunaikan janjinya menaja mereka berkunjung ke Dubai.

Lebih 600 perwakilan menghadiri mesyuarat itu kelmarin dan Jamal berjanji akan bayaran itu akan dibuat menerusi dua ansuran, iaitu RM500 dibayar Rabu lalu manakala baki RM500 akan diberikan tahun depan.

“Apabila kita baik kepada orang lain, mereka akan memberi respons baik dan sentiasa membantu kami sebagai balasan.

“Tetapi, pendirian saya ialah semua sumbangan politik yang saya terima akan diberikan kembali kepada ahli Umno dan rakyat Sungai Besar.
“Saya tidak akan ambil walaupun satu sen untuk diri saya. Saya mendapat wang mencukupi daripada perniagaan saya,” katanya.

Beliau turut menyelar Kulasegaran sengaja menjadikan ia satu isu, sedangkan parti pembangkang juga bergantung kepada sumbangan pihak lain untuk mengadakan program mereka.

“Kami ahli politik ada ramai rakan. Jadi, ia adalah keterlaluan jika anda hendak mempersoalkan sumbangan saya kepada ahli Umno dan rakyat Sungai Besar.

“Saya harap ahli Parlimen itu tidak akan mempersoalkan kebaikan dan keikhlasan saya semata-mata untuk kepentingan politik peribadinya.

“Bagi saya, beliau (Kulasegaran) adalah seorang ahli politik bodoh, berfikiran cetek dan sekadar mencari publisiti,” kata penggerak himpunan Baju Merah itu.

No comments:

Post a Comment

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ  | Semalam, mummy berkesempatan u...