Amri diumumkan selaku ketua pasukan skuad negara semalam oleh pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.

Dia mengetepikan dua calon lain, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat, susulan kapten terdahulu, Safiq Rahim, mengumumkan persaraannya.

"Bagi saya, ini tugas berat juga kerana diberi tugas selaku ketua pasukan kebangsaan. Bukan senang untuk memegang tanggungjawab selaku kapten. 

"Tanpa sokongan rakan-rakan sepasukan, tidak mungkin saya dapat menjalankan tugas sebagai ketua pasukan.

"Saya berharap rakan-rakan akan memberikan kerjasama yang tinggi, sama ada dalam latihan mahupun perlawanan," jelasnya

Mengakui dia memikul tugas berat selaku jeneral di atas padang, Amri, bagaimanapun, mahu memastikan skuad negara kembali disegani.

Ia akan bermula dengan aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Indonesia di Solo, Selasa ini.

"Saya berharap kami mampu untuk mempamerkan aksi yang terbaik dalam perlawanan persahabatan nanti, dan memberikan komitmen yang tinggi dalam perlawanan itu.

"Kami akan cuba sedayaupaya untuk tidak tewas."