Wednesday 3 August 2016

JDT masih unggul di takhta Liga Super

JDT masih unggul di takhta Liga Super
Pemain Pulau Pinang Muhamad Faizat Mohd Ghazli cuba mendapatkan bola yang dikawal oleh pemain JDT Azrif Nasrulhaq pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super meskipun seri 1-1 menentang Pulau Pinang, malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu, skuad Harimau Selatan yang mengumpul 40 mata, memperoleh gol pertama seawal minit ke-11 menerusi Pereyra Diaz, namun tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Fitri Omar pada minit ke-60.

Mengekori rapat di kedudukan kedua ialah Felda United yang mengumpul 38 mata setelah terikat 1-1 berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Baharu.

Tuan rumah yang tersentak dengan jaringan awal Felda United oleh Forkey Doe pada minit kesembilan, berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan Wander Luiz Junior pada minit ke-76.

Keputusan itu menyaksikan pasukan Kelantan jatuh di tangga ketujuh dengan 18 mata.

Pasukan Selangor di kedudukan ketiga dengan 26 mata walaupun tewas kepada T-Team 0-1, hasil jaringan pemain import tuan rumah, Makan Konate pada minit ke-36 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kemenangan itu menyaksikan T-Team naik ke kedudukan keenam dengan 19 mata.

Sementara di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menewaskan Pahang 1-0 dan kekal di tangga keempat dengan pungutan 22 mata, hasil sepakan penalti Shane Smeltz pada minit ke-28.

Di Stadium Perak, Ipoh, menyaksikan jaringan Fazrul Hazli pada minit ke-47 meletakkan The Bos Gaurus di tangga kelima dengan pungutan 20 mata selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0.
Sarawak pula naik di tempat kelapan dengan kutipan 18 mata selepas  menewaskan Terengganu 2-1 menerusi jaringan seawal pada minit kedua perlawanan oleh Ndumba Makeche di Stadium Negeri Kuching.

Gol kedua disumbangkan Gilmar Jose Da Silva Filho hasil sepakan penalti pada minit ke-55 selepas pemain tuan rumah, Makeche dikasari dalam kotak penalti, manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan Vincet Bikana pada minit ke-21.

No comments:

Post a Comment

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ

60000 PASANG BAJU RAYA JAKEL PERCUMA DARI AHLI PARLIMEN TANAH MERAH YB DATO' HJ IKMAL HISHAM ABD AZIZ  | Semalam, mummy berkesempatan u...