Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, nyata gembira dengan aksi 90 minit ditunjukkan anak buahnya yang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

“Saya cukup berpuas hati bukan sahaja kerana kemenangan malam ini (semalam) tetapi juga kerana pemain-pemain memberikan satu aksi yang baik dan menunjukkan sikap bersungguh-sungguh.”

Walaupun menamatkan pusingan pertama di tangga keempat liga, T-Team mengharungi tiga kekalahan berturut-turut sejak Liga Super bersambung bulan lalu, yang menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kelapan.

“Ketika kami turun ke tangga kelapan, semua terkejut dan pemain-pemain memerlukan semangat serta motivasi. Pihak pengurusan memberi sokongan yang cukup baik kepada kami untuk bekerja keras merampas kembali kedudukan itu.

“Kami bukan lagi pasukan yang berada dala kalangan empat pasukan terbaik kerana sudah berada di bawah gara-gara sedikit kesilapan yang kami lakukan.

"Jadi aksi malam ini (tadi) cukup membuat saya gembira kerana ia sangat penting untuk membina semula motivasi dan semangat mereka.”

Perlawanan malam tadi menyaksikan T-Team beberapa kali mengancam kubu pelawat menerusi Patrick Cruz yang membuat hantaran pada minit ke-19 namun gagal mencari rakan sepasukan, begitu juga percubaan Makan Konate tiga minit selepas itu sekadar tinggi melepasi pintu gol Selangor.

Konate jelas menjadi watak penting kemenangan T-Team dengan jaringan tunggal pada minit ke-36 selepas menerima umpanan Muhammad Zulhanizam hasil gerakan menarik

Cruz yang terlebih dahulu melepasi kawalan pertahanan Selangor, Ugochukwu Ukah, di sebelah kiri.

“Pemain-pemain beraksi dengan baik serta mudah untuk kami mengikut strategi yang dirancang dengan tidak memberi ruang kepada Selangor mengatur gerakan.

“Setiap kali pihak lawan masuk ke bahagian tengah, pemain-pemain saya membuat tekanan dengan begitu baik dan usaha mereka berhasil sehingga Selangor hampir tiada peluang langsung untuk menjaringkan gol.

“Gandingan pertahanan, Maiga (Abdoulaye) dan (Wan Ahmad) Amirzafran, juga berdisiplin walaupun Amirzafran ada membuat sedikit kesilapan tetapi dia menutup kesilapan itu dengan permainan yang baik.

“Kemenangan ini sangat penting, namun saya masih berharap ia tidak membuatkan pemain-pemain saya tidak lalai kerana kelalaian itu yang memberikan keputusan teruk kepada kami sebelum ini,” tambahnya.

Dengan kemenangan ini, The Titans kembali bernafas dan memperbaiki kedudukan ke tangga keenam liga dengan 19 mata.